Jumaat, 24 Oktober 2014

Kisah di sebalik tragedi Zhemchug semasa Perang Pulau Pinang

Salam,

Sajalah nak kongsi artikel yang saya dapat dan sangat menarik untuk dicopypastekan bagi pengetahuan kita bersama.  

Kisah di sebalik tragedi Zhemchug semasa Perang Pulau Pinang. 

Menurut buku nukilan Dr. J. R. Robertson yang bertajuk ‘The Battle of Penang – 1914’, kapal British bernama ‘HRM Yarmouth’ cuba mengesan kapal Jerman bernama ‘SMS Emden’. Ketika itu, Great Britain, France dan Rusia menjalin Perikatan Bersekutu semasa Perang Dunia Pertama. Ramai yang beranggapan ‘Emden’ berada di Perairan Arab berikutan ketiadaan berita terbaharu tentang kapal Jerman yang diketuai oleh Kapten Karl von Mueller tersebut.

Kapal Rusia ‘Zhemchug’ pula berlabuh di Pulau Pinang untuk penyelenggaraan. Kapten Zhemchug, Baron Ivan Alexandrovich Cherkasov telah diyakinkan oleh Jeneral Gabenor di Rangoon tentang keselamatan kapal beliau dan mengambil keputusan untuk menginap di Hotel E & O, Georgetown bersama isterinya yang baru tiba dari Rusia, Baroness Varvara Cherkasova.

Kapten Von Mueller sebenarnya sangat arif dengan perairan di situ dan kedudukan pelabuhan kerana sering melawat Pulau Pinang sebelum peperangan tercetus. Beliau dipercayai memilih untuk menyerang Pulau Pinang kerana terdapat kapal perang dari pihak Perikatan Bersekutu. Menurutnya, tiga kuasa besar tersebut setanding dengan kekuatan tentera Nazi Jerman dan peperangan seperti ini akan mencatat sejarah yang menjadi sebutan sampai bila-bila.

Emden dikatakan mula belayar secara senyap dari pukul 2 am pada tarikh 28 Oktober 1914 itu. Kapten Von Mueller memilih untuk belayar secara perlahan sementara menunggu air pasang pada pukul 5 pagi. Malah beliau dikatakan sangat arif dengan kawasan cetek dan beg pasir yang boleh memerangkap Emden sekiranya tersalah haluan dalam pelayaran.

Pada kira-kira pukul 4.30 pagi, Emden telah pun memasuki kawasan luar pelabuhan Pulau Pinang dengan kelajuan 11 knot. Dengan menyamar sebagai kapal British, ‘HRM Yarmouth’, Endem berjaya mendekati kawasan pelabuhan. Malah terdapat laporan mengatakan, bot kecil yang berada di perairan terdengar Kapten Von Mueller memberitahu  yang beliau dari kapal Yarmouth.

Pihak Jerman berjaya mendekati Zhemchug dan pada kira-kira pukul 5:18 pagi, Emden memulakan serangan dengan melepaskan meriam kea rah Zhemchug. Akibat serangan Emden, kapal Zhemchug tidak berada dalam kedudukan optimum untuk melepaskan serang balas. Dengan keadaan sedikit terjongket dan kedudukan sangat dekat dengan Emden, Zhemchug melepaskan tembakan tetapi tidak menepati sasaran.

Kapal Perancis ‘Mousquet’ pula baru tiba dari rondaan turut diserang oleh Emden. Menurut laporan, Mousquet tidak melepaskan sebarang tembakan ke arah Emden atas sebab yang tidak diketahui, Akhirnya, Zhemchug dan Mousquet tenggelam dalam perairan Pulau Pinang.
         
Sementara itu, Baron Cherkasov yang berada di hotel bersama isterinya terbangun dan tidak dapat melakukan apa-apa. Beliau hanya mampu melihat dari tingkap bilik hotelnya. Peperangan tersebut telah meragut nyawa 88 kelasi Rusia dan mencederakan 121 yang lain. Ketika kejadian berlaku, nelayan Pulau Pinang yang berada berhampiran pelabuhan terus menaiki bot masing-masing dan menyelamatkan kelasi Rusia yang berada di laut.
                
Baron Cherkasov dan orang kanannya, Lt Kulibin telah dikenakan tindakan ketenteraan atas kecuaian mereka. Baron Cherkasov dipenjarakan selama 3 ½ tahun, dilucut pangkat dan dibuang dari Tentera Laut Rusia. Manakala Lt Kulibin dipenjara selama 1 ½ tahun. Bagaimanapun atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan, Tsar Nicholas Kedua telah mengubah hukuman tersebut dan memutuskan supaya mereka berkhidmat sebagai tentera biasa tanpa sebarang pangkat.
                
Kejadian ini sebenarnya merupakan titik tolak hubungan baik antara Rusia dan Malaysia yang jarang diperkatakan orang. Dalam jumlah yang terkorban itu, 12 disemadikan di Pulau Pinang, termasuk 2 di Pulau Jerejak. Setiap tahun, Kedutaan Rusia di Malaysia akan mengadakan majlis penghormatan sempena Peperangan Pulau Pinang sebagai tanda menghargai jasa baik rakyat Malaysia yang pernah satu ketika menyelamatkan kelasi Rusia yang hampir lemas.




                
Tidak hairanlah, semakin ramai pelancong dari Rusia datang ke Malaysia terutama semasa cuti musim sejuk. Selepas melawat Pulau Pinang, mereka akan meneruskan percutian ke Pulau Langkawi. Selain destinasi utara Semenanjung Malaysia, pelancong Rusia juga tertarik dengan keindahan di Sabah dan Sarawak. 

Rabu, 22 Oktober 2014

Majlis Penghormatan Ulang Tahun ke-100 Peperangan Pulau Pinang

Salam,

Majlis Penghormatan ulang tahun ke 100 Peperangan Pulau Pinang yang akan diadakan pada 28 October 2014 ini. Ayuh sahabat-sahabat yang berada di Pulau Pinang dan kawasan sekitarnya, kita pakat ramai-ramai pi event ni. Sejarah membentuk kita pada hari ini.. gituhhh



Yang cintakan kedamaian,

Selasa, 21 Oktober 2014

Teater Bangsawan Merong Mahawangsa (Suaraku Bernafas)

Salam,

Teater Bangsawan Merong Mahawangsa (Suaraku Bernafas) yang telah dipentaskan di Pentas Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini serentak dengan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 (BBK) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada penilaian saya dari kaca mata seorang penonton, sedikit mengecewakan. 

Jalan cerita yang kurang jelas dan watak Merong Mahawangsa yang seharusnya digambarkan sebagai seorang pahlawan lagenda gagal diterjemahkan dengan baik dalam pementasan ini sebaliknya watak Telani kelihatan lebih gagah melalui beberapa siri aksi lawan yang ditonjolkan.  Saya tidak tertarik dengan busana dan penggunaan serta tata hias set pentas mungkin kerana terdapat kekangan kewangan.

Cahaya dengan keletahnya yang menggelikan hati
Antara babak romantis Merong Mahawangsa dan Embok
Telani kecewa cintanya terhadap Merong Mahawangsa tidak berbalas pergi berperang untuk menyelamatkan kawannya Embok
Merong Mahawangsa bersama Laksamana Liu Yun bersatu untuk menentang Tentera Taji
 Namun usaha yang telah diberikan oleh semua pihak terutamanya Raja Azrey selaku pengarah dan kumpulan Opera Sri Bandaraya yang membariskan pelakon terdiri daripada unit kesenian dan kebudayaan serta pemuzik DBKL sendiri, harus diberi pujian dan saya percaya dari masa ke semasa pementasan seumpama ini pasti boleh diperbaiki lagi. 


Raja Azrey selaku Pengarah bersama barisan pelakon dan orang kuat DBKL
Terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang senantiasa mendokong dan mengetengahkan aktiviti-aktiviti  kebudayaan dan kesenian negara agar tidak luput dan lekang dek zaman.

Terima kasih juga kepada DikBee dan Poyak untuk gambar-gambar yang menarik dan cantik walaupun tempat duduk kami jauh nun diatas sana.

Yang makan mint untuk nafas segar,